Tuesday, October 21, 2008

Rumah Depan Sekolah

Aku kerap ke rumah Che De Pah yang juga merupakan ibu saudara aku, biasanya kerana bermain-main dengan anak-anaknya yang hampir sebaya dengan kami. Anak bongsunya sebaya dan sekelas dengan aku. Kami beramai-ramai selalu ke Bukit Darat Bari, kalau tidak mengutip hasil buah-buahan limau manis atau ciku Ayah Ngah kami ke sana sekadar pusing-pusing dalam hutan getah, kadang-kadang mencari buah getah untuk dimain "laga" dan sebagainya.

Singgah di rumah Che De Pah adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan, Che De sangat baik orangnya melayan kami bagai anak sendiri. Dialah yang memperkenalkan cuka nipah kepada aku, untuk dimakan dengan buah jambu batu, mangga muda dan sebagainya. Mula-mula aku tidak suka tetapi setelah biasa barulah dapat dihayati kelazatan rasanya. Kata Che De dia memang cuma menggunakan cuka nipah sahaja, malah dia langsung tidak gemar akan rasa cuka asid yang masam seperti yang digunakan sekarang. Kerap kali juga kami makan nasi tengah hari di lambur rumah Che De pah, biasanya lauk budu tidak pernah ditinggalkan. Makan nasi di situ terasa sungguh sedap, terutama setelah penat bermain, mengerek tembakau atau membilang kacang panjang.

Che De Pah sangat rajin orangnya, selalu bercucuk tanam. Dia seorang yang sangat gigih dan rasanya telah menanam pelbagai jenis tanaman. Malah dia juga sangat rajin pergi "mendengar" di Rusila dan Batu Enam. Dia juga sangat suka berjalan kaki, kalau setakat hendak pergi ke masjid, kedai atau datang ke rumah kami dia memang hanya berjalan kaki. Dia juga sangat berani berjalan kaki seorang diri di waktu malam melalui jalan antara rumah kami ke rumahnya yang tiada rumah orang lain, cuma hutan di kiri dan kanan.

Suami Che De pah Ayah De Mat selalu memberitahu kami walau banyak mana pun dia makan lada jarum tapi dia tidak pernah rasa pedas. Pada waktu aku masih agak kecil aku agak teruja juga. Tetapi tidak lagi selepas aku mula besar sedikit, malah aku fikir dia seorang yang kelakar. Ayah De berjalan senget, dikatakan orang kerana dia terlalu kuat bekerja waktu dia masih muda-muda dan sihat. Yang aku masih ingat Ayah De selalu duduk di gerai hadapan rumahnya sangat dekat dengan jalan raya, menunggu gerai jualan madu-madu yang diisi dalam botol. Kadang-kadang dia juga menjual petai, tembikai, jambu merah, kacang panjang dan sebagainya.

* Ayah De Mat telah pun kembali ke rahmatullah pada Jun 2008. Alfatihah.

5 comments:

ab geldofg said...

al ftihah..:(

Hartini Omar said...

ahmad,
-adakah lada jarum itu bermaksud cili api atau cili padi atau cabai burung di sesetengah tempat?

membaca perkataan "lada jarum" itu, aku tiba2 jadi rindu pada kisah hartini, amli dan pasir panjang mereka..

Nafastari said...

ab geldofg, kadang2 bila melalui hadapan rumahnya aku bagaikan terlihat Ayah De Mat di gerai tepi jalan itu.

Hartini, ya sama la. Pasir panjang itu amat dekat sekali dengan tempat saya tinggal sekarang.

WS Zuriati said...

Menu yg paling istimewa kt umah Che de pah ialah ikan kukus@rebus bersama dgn budu yg warna merah itu. Ntah camne...kalu mkn kt umh dia selera kita memang menjadi.Padahal ibu kita lagi kreatif dlm mencipta lauk pauk.

Nafastari said...

WS Zuriati, bila mengingatkan itu semua saya menjadi kecur dan sangat lapar sekarang!