Monday, August 9, 2010

Anak Biri-Biri

Ada seekor anak kambing biri-biri milik ayah yang dipelihara oleh Toksu Minah, yang kematian ibunya dan entah bagaimana akhirnya ayah membawa ia ke rumah. Keluarga kami tidak pernah mempunyai apa-apa binatang peliharaan sebelum itu, malah apa yang aku perhatikan semua orang dalam keluarga aku tidak suka pada kucing. Kalau ada pun binatang peliharaan, adalah ayam atau itik yang kami makan telur-telurnya dan kadang-kadang di hari yang agak istimewa ayah akan menyembelihnya dan ibu akan menggulai. Pada hari itu sudah tentulah ayah tidak menyembelih anak biri-biri yang baru berusia beberapa hari itu, tetapi kami berkeputusan untuk memeliharanya.

Aku masih ingat setiap hari kami akan menyusukan anak biri-biri yang berbulu putih itu dengan susu tepung, Dumex salah satu dari jenamanya. Anak biri-biri itu sangat jinak dan manja dengan kami, ia minum susu tepung dari botol yang kami pegang semasa menyusukannya, laksana menyusu seorang bayi kecil. Ia minum dengan sangat lahap tetapi kelihatan manja sekali. Kadang-kadang kami juga memberi ia makan daun sisik puyu. Bulunya kerinting keras dan sangat bersih kerana kami memandikannya pada setiap hari. Aku rasa itulah haiwan pertama yang aku pernah sayang, walaupun sebenarnya secara umumnya kami memandang biri-biri adalah haiwan yang kotor bulunya dan berbau busuk. Ia sangat rapat dengan semua orang dan buat seketika kami sangat bahagia melihat hari-hari ia membesar bersama kami, bermain-main dengan kami dan mengikut kami apabila kami berjalan di kawasan sekitar rumah.

Tetapi pada hari itu, kami fikir ia sudah besar dan sudah pandai mencari makan sendiri. Lalu ibu dan ayah mencadangkan supaya diberhentikan susu botolnya. Dan pada hari itu semua orang pergi meninggalkan rumah, meninggalkan anak biri-biri itu seorang diri, tetapi aku sudah lupa ke mana kami pergi. Dan selepas kami pulang ke rumah pada petang menjelang Maghrib hari itu, kami lihat anak biri-biri itu sedang duduk merebah badannya ke tanah. Ia kelihatan lemah sekali. Dan sukar untuk kami menerima kenyataan bahawa beberapa minit selepas itu, dia pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Aku rasa ibu dan ayah berasa sangat kesal kerana mengambil keputusan untuk memberhentikan susunya. Selepas itu, tiada lagi hari-hari bahagia bersama anak biri-biri putih yang tidak pernah busuk itu.

Tuesday, June 16, 2009

Mandi Pantai

Kadang-kadang aku menjadi sangat takut pada laut dan ombak. Melihat laut pun aku tidak sanggup. Pada waktu itu aku belum bersekolah. Suatu petang itu, aku ke pantai dengan kakak aku dan pada masa itu aku rasa sungguh takut melihat laut. Kakak aku tutup mata aku dengan sehelai kain dan aku tidak perlu takut lagi kerana aku sudah tidak dapat melihat apa-apa, cuma gelap.

Setelah besar sedikit aku tidak takut lagi pada laut dan pantai. Pada musim cuti sekolah kami suka sangat ke pantai. Biasanya pagi-pagi kami berkumpul dulu di rumah Moksu Timah dan tonton TV jika ada cerita menarik, biasanya Ultraman yang menarik perhatian kami. Setelah raksasa mati biasanya Moksu akan menutup TV kerana dia kata TV sudah panas dan perlu ditutup seketika. Kami akur dan keluar dari rumah Moksu dan seterusnya merancang aktiviti yang seterusnya. Samada bermain apa-apa permainan di "Pasir Putih", di depan rumah Mokteh Mah, memancing di kolam Ayah Ngah Arif atau di Barus Luar atau ke pantai! Kamilah kanak-kanak yang paling beruntung kerana kami ada banyak pilihan.

Jika ke pantai kami berjalan beramai-ramai melalui jalan dalam kampung. Melalui kawasan yang sedikit berhutan dan semak-samun. Tapi sambil-sambil itu kami pungut buah kemunting, jambu (banyak jenis; butir banyak, penawar, jambu arang), buah khekuk, buah chupu, mata ayam dan sebagainya untuk dimakan. Ada banyak buah-buah yang tumbuh secara semulajadi di situ. Hutan itu tidak tebal, tanahnya putih dan ada denai yang luas yang boleh kami lalu dan bawa kami ke pantai. Sebelum aku bersekolah iaitu pada umur aku mungkin lima atau enam tahun tempat itu menjadi tempat pasangan kekasih di kampung itu untuk berjumpa, di balik rimbunan pohon kemunting yang tumbuh jarang-jarang tetapi merendang di atas tanah beris yang sangat putih dan di antara batang pokok-pokok kelapa tinggi yang melambai-lambai.

Mandi pantai sangat menyeronokkan, walaupun kadang-kadang kami seakan-akan lemas dan tertelah air masin. Itu bagaikan perkara yang sangat biasa dan tidak langsung menjadi ketakutan atau kebimbangan kami. Jika rajin kami akan mencari remis atau ketam. Remis boleh dicari menggunakan tangan atau kaki di gigi air. Menurut pemerhatian aku remis lebih banyak jika ombak lebih besar. Tetapi ada ketikanya remis sangat sukar diperoleh. Selepas mencari remis ada banyak pasir pantai akan masuk lekat di celah-celah kuku tangan dan kaki. Ketam boleh ditangkap dengan mudah menggunakan umpan ikan kering. Jika ikan kering tersebut telah lama dan berbau, itu lebih berkesan. Ketam lebih banyak jika ombak tenang atau ada pasir beting, biasa waktu awal pagi dan petang.

Jika bermain air, aku cukup gemar bermain menunggu ombak tinggi, dan melompat melepasi ombak tersebut yang datang ke arah kami. Mandi pantai menyebabkan kulit menjadi sangat gelap. Tapi kami tidak berapa tahu tentang nilai warna kulit pada masa itu jadi ia tidak pernah menjadi isu. Pernah satu hari sewaktu sekolah baru dibuka setelah cuti semester, seorang guru bertanya, "kamu letak arang ke di kulit kamu?". Aku rasa dia cuba buat lawak, tapi aku kurang faham sebab aku tidak sedar bahawa kulit aku menjadi lebih gelap daripada biasa.

Mandi pantai sangat memenatkan. Mungkin kerana terlalu lama bermain kadang-kadang semasa kami berjalan untuk pulang ke rumah saya merasakan seperti masih ada alunan ombak yang seolah-olah membadai kami. Lebih teruk jika sampai ke rumah kami kena dengar bebelan ibu yang tidak berpuas hati atas beberapa perkara, antara lain sebab lewat atau tidak mengaji Quran!

Wednesday, January 21, 2009

Rumah Kak Yah

Aku teringat sangat pada rumah Kak Yah terletak paling dekat dengan rumah aku. Kadang-kadang kami panjat pokok jambu golok yang rendang di hadapan rumahnya, ada banyak pokok dedalu bersarang atas dahannya. Jika ada buah dedalu yang masak kami panjat untuk mendapatkan buahnya dan makan. Buahnya sangat kecil, manis dan berlendir, ada biji kecil di dalamnya.

Kami menonton TV di rumah Kak Yah, walaupun setelah diperli oleh ibu dan ayah. Mereka selalu berkata kami pergi “menadah kitab besar”, sebenarnya mereka tidak suka kami menonton TV dan mungkin sebab itu jugalah tidak pernah ada TV di rumah kami. Kak Yah dan suaminya Abang Pa sangat baik, mereka tidak kisah kami menonton TV hitam putih di rumahnya pada malam-malam hari. Pada waktu itu, belum ada elektrik 24 jam di tempat kami. Hanya 12 jam ketika malam dan ibu membayar bil yang tetap pada setiap bulan, tiada bil tiada meter, tapi aku sudah lupa berapa jumlahnya.

Di rumah Kak Yah tiada perigi, jadi dia sekeluarga menumpang di perigi rumah aku. Kadang-kadang membasuh pakaian dengan ibuku di tepi perigi yang berdinding daun kelapa yang disusun rapat pada kayu yang dijadikan turus pagarnya. Selalu saja Kak Yah mengangkut air dalam baldi dari perigi rumah aku ke rumahnya sewaktu kami sedang bermain di hadapan tangga rumahnya. Kak Yah beri kami minum air perigi yang belum dimasak dari dalam baldi yang dibimbitnya. Semua orang akan hirup air itu seorang demi seorang (termasuk adik-beradik aku serta anak-anak KakYah dan kanak-kanak lain) dari tepi baldi yang dibimbit olehnya. Ini adalah sesuatu yang aku akan ingat sampai bila-bila.

Kak Yah ada anak yang istimewa yang mereka panggil Abe. Dia tidak pernah bercakap walaupun dia dua tahun lebih tua daripada aku. Kadang-kadang bila sakit Abe datang seluruh badan dia akan mengeras dan dia akan jatuh berguling, tak kira di mana samada atas tanah, atas rumah atau atas tangga. Kadang-kadang dia jatuh dari atas tangga atau lambur. Kami akan beramai-ramai memicit-micit seluruh badannya sehingga dia kembali normal.

Suatu hari semasa dalam darjah satu cikgu telah memberikan markah yang paling tinggi dalam kelas aku untuk sebuah lukisan yang aku lukiskan, 92%. Aku menceritakannya pada pada Imah, salah seorang anak Kak Yah yang berumur empat tahun lebih tua daripada aku. Dia ingin melihat lukisanku dan suatu petang aku bawakan lukisan itu ke rumahnya. Dia kata sangat cantik malah lebih cantik daripada lukisan adiknya yang sekelas dengan aku. Aku bangga walaupun atas kertas lukisan itu aku cuma lukis sebuah rumah, sebatang pokok, pokok bunga dalam pasu, beberapa ketul awan bersama matahari di atas bukit dan seekor kura-kura!

Tuesday, October 21, 2008

Rumah Depan Sekolah

Aku kerap ke rumah Che De Pah yang juga merupakan ibu saudara aku, biasanya kerana bermain-main dengan anak-anaknya yang hampir sebaya dengan kami. Anak bongsunya sebaya dan sekelas dengan aku. Kami beramai-ramai selalu ke Bukit Darat Bari, kalau tidak mengutip hasil buah-buahan limau manis atau ciku Ayah Ngah kami ke sana sekadar pusing-pusing dalam hutan getah, kadang-kadang mencari buah getah untuk dimain "laga" dan sebagainya.

Singgah di rumah Che De Pah adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan, Che De sangat baik orangnya melayan kami bagai anak sendiri. Dialah yang memperkenalkan cuka nipah kepada aku, untuk dimakan dengan buah jambu batu, mangga muda dan sebagainya. Mula-mula aku tidak suka tetapi setelah biasa barulah dapat dihayati kelazatan rasanya. Kata Che De dia memang cuma menggunakan cuka nipah sahaja, malah dia langsung tidak gemar akan rasa cuka asid yang masam seperti yang digunakan sekarang. Kerap kali juga kami makan nasi tengah hari di lambur rumah Che De pah, biasanya lauk budu tidak pernah ditinggalkan. Makan nasi di situ terasa sungguh sedap, terutama setelah penat bermain, mengerek tembakau atau membilang kacang panjang.

Che De Pah sangat rajin orangnya, selalu bercucuk tanam. Dia seorang yang sangat gigih dan rasanya telah menanam pelbagai jenis tanaman. Malah dia juga sangat rajin pergi "mendengar" di Rusila dan Batu Enam. Dia juga sangat suka berjalan kaki, kalau setakat hendak pergi ke masjid, kedai atau datang ke rumah kami dia memang hanya berjalan kaki. Dia juga sangat berani berjalan kaki seorang diri di waktu malam melalui jalan antara rumah kami ke rumahnya yang tiada rumah orang lain, cuma hutan di kiri dan kanan.

Suami Che De pah Ayah De Mat selalu memberitahu kami walau banyak mana pun dia makan lada jarum tapi dia tidak pernah rasa pedas. Pada waktu aku masih agak kecil aku agak teruja juga. Tetapi tidak lagi selepas aku mula besar sedikit, malah aku fikir dia seorang yang kelakar. Ayah De berjalan senget, dikatakan orang kerana dia terlalu kuat bekerja waktu dia masih muda-muda dan sihat. Yang aku masih ingat Ayah De selalu duduk di gerai hadapan rumahnya sangat dekat dengan jalan raya, menunggu gerai jualan madu-madu yang diisi dalam botol. Kadang-kadang dia juga menjual petai, tembikai, jambu merah, kacang panjang dan sebagainya.

* Ayah De Mat telah pun kembali ke rahmatullah pada Jun 2008. Alfatihah.

Tuesday, August 12, 2008

Hujan & Memori Ubi Gadong

Hujan selalunya memberikan suatu perasaan yang sangat indah kerana ia selalu mengingatkan aku pada segala nostalgia waktu kecil-kecil dulu. Tentang bagaimana riangnya berlari-lari dan bermain dalam hujan sewaktu musim tengkujuh yang selalunya melanda negeri-negeri Pantai Timur pada sekitar Oktober hingga Januari setiap tahun.

Mandi hujan itu adalah sesuatu yang sungguh menyeronokkan dan kami biasanya akan mandi sehingga ‘biru’, iaitu tanda apabila kita sudah terlampau sejuk. Bibir pula akan bertukar menjadi seakan kehitaman dan seluruh kaki dan tangan akan menjadi pucat dan berkedut-kedut. Apabila melihat bibir sudah kehitaman biasanya orang-orang tua akan menasihati supaya berhenti main hujan dan masuk ke dalam rumah. Aku juga ingat orang-orang tua memarahi kami bermain di bawah pokok kelapa sewaktu hujan, kerana bimbangkan akan panahan petir yang biasanya mencari pucuk kelapa yang tinggi.

Ada satu tempat yang sangat kami sukai iaitu tidak berjauhan dari rumah, kami panggil “tempat air bah”. Asalnya adalah merupakan laluan traktor yang membawa kayu gelam untuk dijadikan arang, pasir di situ sungguh putih dan cuma ada pokok-pokok gelam dan pokok-pokok renek yang berbatang hijau, licin, lurus dan halus setinggi pokok lalang. Apabila tiba musim tengkujuh tempat itu akan ditenggelami oleh air bah yang sungguh jernih dan mengalir deras. Di situlah kami mandi-manda, bergelak ketawa sehingga kami merasakan kami telah menjadi kanak-kanak yang sangat gembira dan sempurna pada ketika itu.

Tidak jauh dari situ, ayah akan merendamkan sejenis ubi yang kami panggil “gadong” ke dalam air bah itu bagi menawarkan segala racun memabukkan yang terdapat dalam gadong tersebut. Gadong itu akan dimasak dalam kuali atau periuk tembaga dengan cara mencampurkannya dengan kelapa muda yang dikukur dengan kukuran tradisional (mencangkung di atasnya) dan sedikit gula.

Ini adalah makanan khas yang cuma disediakan pada musim bah. Gadong tersebut ayah perolehi dari Bukit Darat Bari dan ianya dibuang kulit terlebih dahulu sebelum dihiris nipis-nipis dan dimasukkan ke dalam guni. Selepas itu barulah ianya direndam ke dalam air bah kami. Kulitnya berduri-duri tumpul, isinya berwarna putih kekuningan dan sebelum kami makan biasanya ayah akan menguji kepada ayam dan itik terlebih dahulu, sekiranya ayam itik tidak mati, barulah ayah benarkan kami makan.

Tetapi tempat air bah itu sudah tidak wujud lagi sekarang. Telah dibuka penempatan sebuah kampung baru di situ, segala sudah tidak sama dengan dulu. Dan ubi gadong pun cuma tinggal sekadar memori yang boleh dituliskan di sini, bertahun-tahun sudah aku tidak melihat ayah mengupas kulitnya, merendamkan guninya ke dalam air bah jernih yang mengalir deras di celah-celah pokok gelam di seberang jalan depan rumah kami.

Saturday, August 2, 2008

"Tak Mboh Doh!"

Aku tidak pasti untuk samada perlu mengkategorikan ayahku sebagai garang atau tegas, tetapi yang penting aku selalu disakitinya secara fizikal sewaktu aku kecil-kecil dulu. Bukan sahaja aku, malah adik-beradikku yang lain-lain lagi, lebih-lebih lagi abang-abang dan kakak-kakakku yang lahir lebih awal itu. Walaupun aku tidak pernah menyaksikan bagaimana mereka dipukul tapi aku selalu mendengar cerita-cerita mereka, malah jika kami berkumpul di malam hari raya kami dengan asyiknya bertukar cerita-cerita tersebut sambil ayah duduk di suatu sudut memberikan reaksi yang tidak berperasaan, kadang-kadang tersenyum hambar.

Biasanya kami akan dihukum apabila melakukan beberapa kesalahan yang mungkin diletakkan dalam kategori kesalah serius oleh ayahku. Antara kesalahan tersebut adalah tidak mengaji Qur'an, pulang selepas waktu Maghrib, bergaduh, menggunakan perkataan tidak elok (mencarut), melawan cakap ibu, membuli adik yang lebih kecil, dan sebagainya. Kami adik-beradik belajar Qur'an di rumah sendiri diajar oleh ibu dan ayah, jika ada yang tertidur sewaktu mengaji biasanya penyapu lidi akan singgah ke muka atau badan.

Aku pernah berdarah mulut kerana ditampar dan ditumbuk, dijolok-jolok dengan batang penyapu sehingga ke bawah katil lalu teresak-esak dan tertidur di bawah katil, disepak-sepak, dan sebagainya. Kerana tidak menutup saji kepala aku dihantuk ke dinding, kerana bergaduh kepala kami dihantuk-hantukkan sesama sendiri. Kakakku pernah bercerita dia disepak-sepak sehingga terguling-terguling dan tercampak ke bawah katil menyalai ibu yang dalam pantang bersalin, di bawah katil itu terdapat satu dapur arang yang digunakan untuk menghangatkan ibu yang bertungku. Abang aku pernah menunjukkan parut di dahinya yang terhasil melalui pukulan dengan menggunakan lampu suluh.

Aku pernah "dibuang" ke tanah (rumah kami di atas tiang-tiang) melalui jendela kerana menangis pada waktu tengah malam, waktu itu aku belum bersekolah, tapi aku sudah mampu mengingati peristiwa itu. Aku pun sudah lupa sebab aku menangis, tetapi setelah ibu membawaku masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur ibu bertanyakan aku apa yang aku mahu, aku menjawab "nak minum air limau nipis". Aku tidak tahu apa yang aku fikir, tetapi ibu telah menyediakannya.

Pernah kami terpaksa tidur di luar, atas lambur sebelah dapur kerana balik selepas Maghrib. Ayah sungguh marah dan kami tidak dibenarkan masuk. Lalu tidur dengan nyamuk-nyamuk dan kesejukan yang menggigit sehinggakan merengkok badan kami melawannya. Biasanya ibu akan datang secara perlahan-lahan membuka pintu, menyuruh kami basuh kaki dan masuk ke dalam rumah, atau setidak-tidaknya dia akan menyelimutkan kami sewaktu kami nyenyak tidur.

Pada kebanyakan waktu, ibu adalah penyelamat jika ayah sudah hilang kawalan. Sekurang-kurangnya pada waktu itu aku rasa ibu adalah manusia yang paling baik, penyayang dan berperikemanusiaan, dia seakan-akan malaikat.

Permainan Orang Kampung

Sewaktu di sekolah rendah aku tidak pernah berasa bahawa belajar itu suatu benda yang sangat penting mahupun susah. Aku ke sekolah kerana ibu menyuruh dan ayah akan marah jika aku tidak pergi ke sekolah. Apabila balik sekolah aku dan adik beradikku serta jiran-jiran aku yang kebanyakannya adalah sepupuku akan bermain sepuas-puasnya sehingga "masih nampak tanah" (aku pinjam kata-kata Mok Su Timoh jiran kami).

Terlalu banyak jenis permainan yang kami mainkan sebelum menjelang maghrib. Biasanya dimainkan dalam kumpulan secara beramai-beramai. Jika perlu membentuk dua pasukan, kami akan melakukannya melalui kaedah "berbisik". Kadang-kadang undian juga dijalankan melalui kaedah cabutan kayu kecil (satu panjang, satu pendek), atau melalui lambungan duit syiling. Kami biasanya bermain di suatu tempat yang kami panggil Pasir Putih kerana pasir di situ sangat putih, terletak di antara rumah aku dengan rumah Che Ngoh dan Kak Nora.

"To Wok" dalam bahasa yang lebih KL mungkin disebut sorok-sorok, "To Jel" adalah suatu permainan kejar mengejar yang lebih lasak dimainkan antara dua pasukan. "Kombet" adalah main perang-perang secara olok-olok. Ianya sungguh menyeronokkan dan jika kita sudah ternampak musuh dan ingin menembaknya kita akan berkata "Dang Leha!" (jika hendak menembak seseorang yang bernama Leha). Kakakku bernama Leha, dia sangat pandai bermain Kombet, mungkin kerana dia sangat rendah dan kecil menyebabkan dia pandai menyorok dan sukar untuk dijumpai.

Kadang-kadang kami bermain Bola Awal, Bola Katok (semacam rounders), Bola Sepak, Bola Tampar, Gelap Cerah (Galah Panjang), Pondok-pondok (kami panggil Main Dangau), Pekong Selipar, Pekong Tin dan banyak lagi. Ianya sungguh mengasyikkan sehinggakan kami lupa ianya sudah hampir Maghrib, lalu berteriaklah ibu-ibu kami memanggil pulang ke rumah. Kadang-kadang kami bergaduh juga sesama sendiri, sesama jiran, sesama sepupu gara-gara ketidakpuashatian terhadap keputusan perlawanan dalam permainan ataupun kekasaran yang berlaku semasa bermain. Jika bermain bola sepak dan "To Jel", kebarangkalian untuk bergaduh adalah tinggi. Bergaduh hanya untuk dua tiga hari dan kemudian berbaik untuk bermain bersama-sama lagi.