Tuesday, August 12, 2008

Hujan & Memori Ubi Gadong

Hujan selalunya memberikan suatu perasaan yang sangat indah kerana ia selalu mengingatkan aku pada segala nostalgia waktu kecil-kecil dulu. Tentang bagaimana riangnya berlari-lari dan bermain dalam hujan sewaktu musim tengkujuh yang selalunya melanda negeri-negeri Pantai Timur pada sekitar Oktober hingga Januari setiap tahun.

Mandi hujan itu adalah sesuatu yang sungguh menyeronokkan dan kami biasanya akan mandi sehingga ‘biru’, iaitu tanda apabila kita sudah terlampau sejuk. Bibir pula akan bertukar menjadi seakan kehitaman dan seluruh kaki dan tangan akan menjadi pucat dan berkedut-kedut. Apabila melihat bibir sudah kehitaman biasanya orang-orang tua akan menasihati supaya berhenti main hujan dan masuk ke dalam rumah. Aku juga ingat orang-orang tua memarahi kami bermain di bawah pokok kelapa sewaktu hujan, kerana bimbangkan akan panahan petir yang biasanya mencari pucuk kelapa yang tinggi.

Ada satu tempat yang sangat kami sukai iaitu tidak berjauhan dari rumah, kami panggil “tempat air bah”. Asalnya adalah merupakan laluan traktor yang membawa kayu gelam untuk dijadikan arang, pasir di situ sungguh putih dan cuma ada pokok-pokok gelam dan pokok-pokok renek yang berbatang hijau, licin, lurus dan halus setinggi pokok lalang. Apabila tiba musim tengkujuh tempat itu akan ditenggelami oleh air bah yang sungguh jernih dan mengalir deras. Di situlah kami mandi-manda, bergelak ketawa sehingga kami merasakan kami telah menjadi kanak-kanak yang sangat gembira dan sempurna pada ketika itu.

Tidak jauh dari situ, ayah akan merendamkan sejenis ubi yang kami panggil “gadong” ke dalam air bah itu bagi menawarkan segala racun memabukkan yang terdapat dalam gadong tersebut. Gadong itu akan dimasak dalam kuali atau periuk tembaga dengan cara mencampurkannya dengan kelapa muda yang dikukur dengan kukuran tradisional (mencangkung di atasnya) dan sedikit gula.

Ini adalah makanan khas yang cuma disediakan pada musim bah. Gadong tersebut ayah perolehi dari Bukit Darat Bari dan ianya dibuang kulit terlebih dahulu sebelum dihiris nipis-nipis dan dimasukkan ke dalam guni. Selepas itu barulah ianya direndam ke dalam air bah kami. Kulitnya berduri-duri tumpul, isinya berwarna putih kekuningan dan sebelum kami makan biasanya ayah akan menguji kepada ayam dan itik terlebih dahulu, sekiranya ayam itik tidak mati, barulah ayah benarkan kami makan.

Tetapi tempat air bah itu sudah tidak wujud lagi sekarang. Telah dibuka penempatan sebuah kampung baru di situ, segala sudah tidak sama dengan dulu. Dan ubi gadong pun cuma tinggal sekadar memori yang boleh dituliskan di sini, bertahun-tahun sudah aku tidak melihat ayah mengupas kulitnya, merendamkan guninya ke dalam air bah jernih yang mengalir deras di celah-celah pokok gelam di seberang jalan depan rumah kami.

Saturday, August 2, 2008

"Tak Mboh Doh!"

Aku tidak pasti untuk samada perlu mengkategorikan ayahku sebagai garang atau tegas, tetapi yang penting aku selalu disakitinya secara fizikal sewaktu aku kecil-kecil dulu. Bukan sahaja aku, malah adik-beradikku yang lain-lain lagi, lebih-lebih lagi abang-abang dan kakak-kakakku yang lahir lebih awal itu. Walaupun aku tidak pernah menyaksikan bagaimana mereka dipukul tapi aku selalu mendengar cerita-cerita mereka, malah jika kami berkumpul di malam hari raya kami dengan asyiknya bertukar cerita-cerita tersebut sambil ayah duduk di suatu sudut memberikan reaksi yang tidak berperasaan, kadang-kadang tersenyum hambar.

Biasanya kami akan dihukum apabila melakukan beberapa kesalahan yang mungkin diletakkan dalam kategori kesalah serius oleh ayahku. Antara kesalahan tersebut adalah tidak mengaji Qur'an, pulang selepas waktu Maghrib, bergaduh, menggunakan perkataan tidak elok (mencarut), melawan cakap ibu, membuli adik yang lebih kecil, dan sebagainya. Kami adik-beradik belajar Qur'an di rumah sendiri diajar oleh ibu dan ayah, jika ada yang tertidur sewaktu mengaji biasanya penyapu lidi akan singgah ke muka atau badan.

Aku pernah berdarah mulut kerana ditampar dan ditumbuk, dijolok-jolok dengan batang penyapu sehingga ke bawah katil lalu teresak-esak dan tertidur di bawah katil, disepak-sepak, dan sebagainya. Kerana tidak menutup saji kepala aku dihantuk ke dinding, kerana bergaduh kepala kami dihantuk-hantukkan sesama sendiri. Kakakku pernah bercerita dia disepak-sepak sehingga terguling-terguling dan tercampak ke bawah katil menyalai ibu yang dalam pantang bersalin, di bawah katil itu terdapat satu dapur arang yang digunakan untuk menghangatkan ibu yang bertungku. Abang aku pernah menunjukkan parut di dahinya yang terhasil melalui pukulan dengan menggunakan lampu suluh.

Aku pernah "dibuang" ke tanah (rumah kami di atas tiang-tiang) melalui jendela kerana menangis pada waktu tengah malam, waktu itu aku belum bersekolah, tapi aku sudah mampu mengingati peristiwa itu. Aku pun sudah lupa sebab aku menangis, tetapi setelah ibu membawaku masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur ibu bertanyakan aku apa yang aku mahu, aku menjawab "nak minum air limau nipis". Aku tidak tahu apa yang aku fikir, tetapi ibu telah menyediakannya.

Pernah kami terpaksa tidur di luar, atas lambur sebelah dapur kerana balik selepas Maghrib. Ayah sungguh marah dan kami tidak dibenarkan masuk. Lalu tidur dengan nyamuk-nyamuk dan kesejukan yang menggigit sehinggakan merengkok badan kami melawannya. Biasanya ibu akan datang secara perlahan-lahan membuka pintu, menyuruh kami basuh kaki dan masuk ke dalam rumah, atau setidak-tidaknya dia akan menyelimutkan kami sewaktu kami nyenyak tidur.

Pada kebanyakan waktu, ibu adalah penyelamat jika ayah sudah hilang kawalan. Sekurang-kurangnya pada waktu itu aku rasa ibu adalah manusia yang paling baik, penyayang dan berperikemanusiaan, dia seakan-akan malaikat.

Permainan Orang Kampung

Sewaktu di sekolah rendah aku tidak pernah berasa bahawa belajar itu suatu benda yang sangat penting mahupun susah. Aku ke sekolah kerana ibu menyuruh dan ayah akan marah jika aku tidak pergi ke sekolah. Apabila balik sekolah aku dan adik beradikku serta jiran-jiran aku yang kebanyakannya adalah sepupuku akan bermain sepuas-puasnya sehingga "masih nampak tanah" (aku pinjam kata-kata Mok Su Timoh jiran kami).

Terlalu banyak jenis permainan yang kami mainkan sebelum menjelang maghrib. Biasanya dimainkan dalam kumpulan secara beramai-beramai. Jika perlu membentuk dua pasukan, kami akan melakukannya melalui kaedah "berbisik". Kadang-kadang undian juga dijalankan melalui kaedah cabutan kayu kecil (satu panjang, satu pendek), atau melalui lambungan duit syiling. Kami biasanya bermain di suatu tempat yang kami panggil Pasir Putih kerana pasir di situ sangat putih, terletak di antara rumah aku dengan rumah Che Ngoh dan Kak Nora.

"To Wok" dalam bahasa yang lebih KL mungkin disebut sorok-sorok, "To Jel" adalah suatu permainan kejar mengejar yang lebih lasak dimainkan antara dua pasukan. "Kombet" adalah main perang-perang secara olok-olok. Ianya sungguh menyeronokkan dan jika kita sudah ternampak musuh dan ingin menembaknya kita akan berkata "Dang Leha!" (jika hendak menembak seseorang yang bernama Leha). Kakakku bernama Leha, dia sangat pandai bermain Kombet, mungkin kerana dia sangat rendah dan kecil menyebabkan dia pandai menyorok dan sukar untuk dijumpai.

Kadang-kadang kami bermain Bola Awal, Bola Katok (semacam rounders), Bola Sepak, Bola Tampar, Gelap Cerah (Galah Panjang), Pondok-pondok (kami panggil Main Dangau), Pekong Selipar, Pekong Tin dan banyak lagi. Ianya sungguh mengasyikkan sehinggakan kami lupa ianya sudah hampir Maghrib, lalu berteriaklah ibu-ibu kami memanggil pulang ke rumah. Kadang-kadang kami bergaduh juga sesama sendiri, sesama jiran, sesama sepupu gara-gara ketidakpuashatian terhadap keputusan perlawanan dalam permainan ataupun kekasaran yang berlaku semasa bermain. Jika bermain bola sepak dan "To Jel", kebarangkalian untuk bergaduh adalah tinggi. Bergaduh hanya untuk dua tiga hari dan kemudian berbaik untuk bermain bersama-sama lagi.

Memori Sekolah Rendah

Pada masa aku dalam darjah dua aku berasakan cikgu Rosmawati sungguh baik dan mulia hatinya kerana kadang-kadang dia memberikan aku 20sen kepadaku untuk dibelanjakan di kantin sekolah. Mungkin kerana dia tahu aku kadang-kadang tidak punya sen untuk dibelanjakan.

Cikgu Wan Ibrahim, orang Kelantan adalah seorang guru yang sangat baik dan berdedikasi. Dia mengajar dengan sungguh ikhlas. Suatu hari semasa aku dalam darjah 3 dia memarahi aku kerana membuka bekal nasi lemak dalam kelas dan bau sambal tumis udang masakan ibuku itu menusuk ke hidungnya dan mungkin mengganggu kosentrasinya. Bukan aku sengaja hendak membuka penutup tupperware itu, tetapi kawan aku sangat teringin untuk melihat rupa nasi lemak yang aku bawa. Tetapi selepas habis kelas itu, dia datang dan meminta maaf padaku dan berkata nasi lemak aku itu tentu sedap rasanya. Aku diam sahaja. Semua orang di sekolah serta orang Kampung Bari Besar dan Bari Kecil suka pada Cikgu Wan Ibrahim.

Cikgu Jahidi yang berasal daripada Langkawi adalah seorang guru yang sangat kreatif dan rajin. Dia mengajar Bahasa Melayu dan sangat suka mengadakan pelbagai aktiviti yang sungguh menyeronokkan. Dia menyuruh kami membawakan tanah liat dan kami membuat lesung sambal, kayu dari dahan pokok celagi dan kami sama-sama menghasilkan rantai kunci yang cantik.

Semasa darjah 2, ada seorang murid perempuan yang cantik, anak kepada jururawat desa di kampung kami. Suatu hari dia memberikan aku duit 50sen, katanya emaknya menyuruh dia berikan kepada aku. Aku mengambilnya. Di suatu hari yang lain dia mengadu kepada cikgu Asma' bahawa aku telah mencarut dan cikgu Asma' telah datang kepadaku dan memulas perutku. Ianya sangat menyakitkan dan aku terus membenci budak perempuan itu dan cikgu Asma' untuk beberapa ketika.