Tuesday, June 16, 2009

Mandi Pantai

Kadang-kadang aku menjadi sangat takut pada laut dan ombak. Melihat laut pun aku tidak sanggup. Pada waktu itu aku belum bersekolah. Suatu petang itu, aku ke pantai dengan kakak aku dan pada masa itu aku rasa sungguh takut melihat laut. Kakak aku tutup mata aku dengan sehelai kain dan aku tidak perlu takut lagi kerana aku sudah tidak dapat melihat apa-apa, cuma gelap.

Setelah besar sedikit aku tidak takut lagi pada laut dan pantai. Pada musim cuti sekolah kami suka sangat ke pantai. Biasanya pagi-pagi kami berkumpul dulu di rumah Moksu Timah dan tonton TV jika ada cerita menarik, biasanya Ultraman yang menarik perhatian kami. Setelah raksasa mati biasanya Moksu akan menutup TV kerana dia kata TV sudah panas dan perlu ditutup seketika. Kami akur dan keluar dari rumah Moksu dan seterusnya merancang aktiviti yang seterusnya. Samada bermain apa-apa permainan di "Pasir Putih", di depan rumah Mokteh Mah, memancing di kolam Ayah Ngah Arif atau di Barus Luar atau ke pantai! Kamilah kanak-kanak yang paling beruntung kerana kami ada banyak pilihan.

Jika ke pantai kami berjalan beramai-ramai melalui jalan dalam kampung. Melalui kawasan yang sedikit berhutan dan semak-samun. Tapi sambil-sambil itu kami pungut buah kemunting, jambu (banyak jenis; butir banyak, penawar, jambu arang), buah khekuk, buah chupu, mata ayam dan sebagainya untuk dimakan. Ada banyak buah-buah yang tumbuh secara semulajadi di situ. Hutan itu tidak tebal, tanahnya putih dan ada denai yang luas yang boleh kami lalu dan bawa kami ke pantai. Sebelum aku bersekolah iaitu pada umur aku mungkin lima atau enam tahun tempat itu menjadi tempat pasangan kekasih di kampung itu untuk berjumpa, di balik rimbunan pohon kemunting yang tumbuh jarang-jarang tetapi merendang di atas tanah beris yang sangat putih dan di antara batang pokok-pokok kelapa tinggi yang melambai-lambai.

Mandi pantai sangat menyeronokkan, walaupun kadang-kadang kami seakan-akan lemas dan tertelah air masin. Itu bagaikan perkara yang sangat biasa dan tidak langsung menjadi ketakutan atau kebimbangan kami. Jika rajin kami akan mencari remis atau ketam. Remis boleh dicari menggunakan tangan atau kaki di gigi air. Menurut pemerhatian aku remis lebih banyak jika ombak lebih besar. Tetapi ada ketikanya remis sangat sukar diperoleh. Selepas mencari remis ada banyak pasir pantai akan masuk lekat di celah-celah kuku tangan dan kaki. Ketam boleh ditangkap dengan mudah menggunakan umpan ikan kering. Jika ikan kering tersebut telah lama dan berbau, itu lebih berkesan. Ketam lebih banyak jika ombak tenang atau ada pasir beting, biasa waktu awal pagi dan petang.

Jika bermain air, aku cukup gemar bermain menunggu ombak tinggi, dan melompat melepasi ombak tersebut yang datang ke arah kami. Mandi pantai menyebabkan kulit menjadi sangat gelap. Tapi kami tidak berapa tahu tentang nilai warna kulit pada masa itu jadi ia tidak pernah menjadi isu. Pernah satu hari sewaktu sekolah baru dibuka setelah cuti semester, seorang guru bertanya, "kamu letak arang ke di kulit kamu?". Aku rasa dia cuba buat lawak, tapi aku kurang faham sebab aku tidak sedar bahawa kulit aku menjadi lebih gelap daripada biasa.

Mandi pantai sangat memenatkan. Mungkin kerana terlalu lama bermain kadang-kadang semasa kami berjalan untuk pulang ke rumah saya merasakan seperti masih ada alunan ombak yang seolah-olah membadai kami. Lebih teruk jika sampai ke rumah kami kena dengar bebelan ibu yang tidak berpuas hati atas beberapa perkara, antara lain sebab lewat atau tidak mengaji Quran!

Wednesday, January 21, 2009

Rumah Kak Yah

Aku teringat sangat pada rumah Kak Yah terletak paling dekat dengan rumah aku. Kadang-kadang kami panjat pokok jambu golok yang rendang di hadapan rumahnya, ada banyak pokok dedalu bersarang atas dahannya. Jika ada buah dedalu yang masak kami panjat untuk mendapatkan buahnya dan makan. Buahnya sangat kecil, manis dan berlendir, ada biji kecil di dalamnya.

Kami menonton TV di rumah Kak Yah, walaupun setelah diperli oleh ibu dan ayah. Mereka selalu berkata kami pergi “menadah kitab besar”, sebenarnya mereka tidak suka kami menonton TV dan mungkin sebab itu jugalah tidak pernah ada TV di rumah kami. Kak Yah dan suaminya Abang Pa sangat baik, mereka tidak kisah kami menonton TV hitam putih di rumahnya pada malam-malam hari. Pada waktu itu, belum ada elektrik 24 jam di tempat kami. Hanya 12 jam ketika malam dan ibu membayar bil yang tetap pada setiap bulan, tiada bil tiada meter, tapi aku sudah lupa berapa jumlahnya.

Di rumah Kak Yah tiada perigi, jadi dia sekeluarga menumpang di perigi rumah aku. Kadang-kadang membasuh pakaian dengan ibuku di tepi perigi yang berdinding daun kelapa yang disusun rapat pada kayu yang dijadikan turus pagarnya. Selalu saja Kak Yah mengangkut air dalam baldi dari perigi rumah aku ke rumahnya sewaktu kami sedang bermain di hadapan tangga rumahnya. Kak Yah beri kami minum air perigi yang belum dimasak dari dalam baldi yang dibimbitnya. Semua orang akan hirup air itu seorang demi seorang (termasuk adik-beradik aku serta anak-anak KakYah dan kanak-kanak lain) dari tepi baldi yang dibimbit olehnya. Ini adalah sesuatu yang aku akan ingat sampai bila-bila.

Kak Yah ada anak yang istimewa yang mereka panggil Abe. Dia tidak pernah bercakap walaupun dia dua tahun lebih tua daripada aku. Kadang-kadang bila sakit Abe datang seluruh badan dia akan mengeras dan dia akan jatuh berguling, tak kira di mana samada atas tanah, atas rumah atau atas tangga. Kadang-kadang dia jatuh dari atas tangga atau lambur. Kami akan beramai-ramai memicit-micit seluruh badannya sehingga dia kembali normal.

Suatu hari semasa dalam darjah satu cikgu telah memberikan markah yang paling tinggi dalam kelas aku untuk sebuah lukisan yang aku lukiskan, 92%. Aku menceritakannya pada pada Imah, salah seorang anak Kak Yah yang berumur empat tahun lebih tua daripada aku. Dia ingin melihat lukisanku dan suatu petang aku bawakan lukisan itu ke rumahnya. Dia kata sangat cantik malah lebih cantik daripada lukisan adiknya yang sekelas dengan aku. Aku bangga walaupun atas kertas lukisan itu aku cuma lukis sebuah rumah, sebatang pokok, pokok bunga dalam pasu, beberapa ketul awan bersama matahari di atas bukit dan seekor kura-kura!