Tuesday, August 12, 2008

Hujan & Memori Ubi Gadong

Hujan selalunya memberikan suatu perasaan yang sangat indah kerana ia selalu mengingatkan aku pada segala nostalgia waktu kecil-kecil dulu. Tentang bagaimana riangnya berlari-lari dan bermain dalam hujan sewaktu musim tengkujuh yang selalunya melanda negeri-negeri Pantai Timur pada sekitar Oktober hingga Januari setiap tahun.

Mandi hujan itu adalah sesuatu yang sungguh menyeronokkan dan kami biasanya akan mandi sehingga ‘biru’, iaitu tanda apabila kita sudah terlampau sejuk. Bibir pula akan bertukar menjadi seakan kehitaman dan seluruh kaki dan tangan akan menjadi pucat dan berkedut-kedut. Apabila melihat bibir sudah kehitaman biasanya orang-orang tua akan menasihati supaya berhenti main hujan dan masuk ke dalam rumah. Aku juga ingat orang-orang tua memarahi kami bermain di bawah pokok kelapa sewaktu hujan, kerana bimbangkan akan panahan petir yang biasanya mencari pucuk kelapa yang tinggi.

Ada satu tempat yang sangat kami sukai iaitu tidak berjauhan dari rumah, kami panggil “tempat air bah”. Asalnya adalah merupakan laluan traktor yang membawa kayu gelam untuk dijadikan arang, pasir di situ sungguh putih dan cuma ada pokok-pokok gelam dan pokok-pokok renek yang berbatang hijau, licin, lurus dan halus setinggi pokok lalang. Apabila tiba musim tengkujuh tempat itu akan ditenggelami oleh air bah yang sungguh jernih dan mengalir deras. Di situlah kami mandi-manda, bergelak ketawa sehingga kami merasakan kami telah menjadi kanak-kanak yang sangat gembira dan sempurna pada ketika itu.

Tidak jauh dari situ, ayah akan merendamkan sejenis ubi yang kami panggil “gadong” ke dalam air bah itu bagi menawarkan segala racun memabukkan yang terdapat dalam gadong tersebut. Gadong itu akan dimasak dalam kuali atau periuk tembaga dengan cara mencampurkannya dengan kelapa muda yang dikukur dengan kukuran tradisional (mencangkung di atasnya) dan sedikit gula.

Ini adalah makanan khas yang cuma disediakan pada musim bah. Gadong tersebut ayah perolehi dari Bukit Darat Bari dan ianya dibuang kulit terlebih dahulu sebelum dihiris nipis-nipis dan dimasukkan ke dalam guni. Selepas itu barulah ianya direndam ke dalam air bah kami. Kulitnya berduri-duri tumpul, isinya berwarna putih kekuningan dan sebelum kami makan biasanya ayah akan menguji kepada ayam dan itik terlebih dahulu, sekiranya ayam itik tidak mati, barulah ayah benarkan kami makan.

Tetapi tempat air bah itu sudah tidak wujud lagi sekarang. Telah dibuka penempatan sebuah kampung baru di situ, segala sudah tidak sama dengan dulu. Dan ubi gadong pun cuma tinggal sekadar memori yang boleh dituliskan di sini, bertahun-tahun sudah aku tidak melihat ayah mengupas kulitnya, merendamkan guninya ke dalam air bah jernih yang mengalir deras di celah-celah pokok gelam di seberang jalan depan rumah kami.

8 comments:

lil' Munchkin said...

Ubi Gadom?
mungkin spesis ubi ni dah pupus
-saya sendiri tak pernah tahu kewujudan ubi ni...
(haikh... implikasi modenisasi)

Anonymous said...

air boh? ... macam pernoh dengor je, ubi gadong ada dua jenis; gadong pulut isi kuning lebih sedap dari gadong jemoh isi putih tu... awok dang ke menyertai 'pesta koyok gadung' tu ..

narumi hayashida said...

Ubi Gadom? Ejaan yang sudah dikomersialkan ke? Hehe, tapi saya pun ingat-ingat lupa ubi tersebut. Apapun kenangan musim hujan antara kenangan kanak-kanak yang terindah, siap kena amaran dengan mak, kalau main hujan, pakai baju tu ajelah sampai petang, jangan ganti-ganti. Baju musim hujan kan payah nak kering, main selut la. Bergocoh dalam selut la, what a sweet moment..!

WS Zuriati said...

Melecek jugak la tangan sewaktu menghiris ubi gadom tu...tapi yang kita biasa makan dulu rasanya lemak-lemak bila dicampur dengan kelapa yang digaul dengan sedikit garam. Di Kelantan ubi gadom tu dah berubah rasa kerana orang Kelantan telah mencampurnya dengan gula melaka atau gula pasir dan juga ditanak dengan pulut. Tapi rasanya boleh tahan jugak....

Unknown said...

aku rasa mcm pernah makan tapi tak igt

nasikerabupetro said...

awak tau tak kacang 'bulu?(ada sabdu tu, sebut nada terengganu ye...)

a.b geldofg said...

.....mmori yg indah.... :)re

Master Adnin said...

kesian ayam dan itik tu ye... jadi mangsa 'test'... hahaha...

kawe pon ado memori dgn ubi gading nih... maso kecik2 dulu... suko sgt make ubi ni... ubi ni sedak kalu masok dgn pulut dan make dgn nyor parut... satu ketika make sapa mabok... satu hari terbaring tokleh bangun... nasib baik ado nyor mudo... lepah minum air nyor mudo terus mutah... pahtu segar mace tok ado apo2... lepa peristiwo tu... terus kawe tok make lagi ubi gadonng... serik... tapi skali skalo rindu jugok kot ubi tu...