Monday, February 11, 2008

Campur dan Bahagi

Satu perkara yang tidak boleh aku lupa, tentang cara kami makan. Oleh sebab kesempitan hidup dan adik-beradik yang ramai, kami mempunyai cara kami tersendiri apabila makan. Ibu mewajibkan kami makan bersama-sama dan kami tidak boleh makan kecuali sehingga semua orang sudah bersila di hadapan hidangan masing-masing. Kalaupun majoriti terpaksa makan terlebih dahulu, tetapi kami mesti menyimpan bahagian makanan untuk yang tertinggal, walaupun sedikit, walaupun secubit.

Aku memang tidak pernah makan ikan dengan banyak, kerana kadang-kadang 5 orang terpaksa berkongsi seekor ikan goreng. Kami tidak tahu bagaimana kami telah melakukannya tetapi kami sudah terbiasa dengan cara itu. Setiap orang tahu bagaimana caranya untuk mencubit ikan tersebut dan semua orang berasa cukup, tiada komplen, tiada perebutan yang berlaku. Dan kadang-kadang jiran kami pun pelik dengan cara kami makan ikan dan mereka pernah bercakap-cakap tentang perkara tersebut.

Ayah suka membeli pisang kerana kata ayah itu adalah buah yang paling murah dan mampu dibelinya. Tapi kadang-kadang kami juga terpaksa makan sekerat sahaja kerana ibu biasanya akan memastikan pisang itu akan cukup untuk semua orang. Ibu akan marah jika kami ingin menghabiskan semua makanan pada sekali makan sahaja, kerana menurutnya itu "rezeki harimau", manusia mesti tidak menghabiskan makanannya sekaligus.

Kalau ibu membuat lempeng kelapa, dia akan membelah-belahnya dengan hujung sudip sehingga menjadi beberapa bahagian, biasanya ia akan berpecah menjadi 6 bahagian dan setiap orang hanya dapat makan 1 bahagian. Jika ibu membeli mangga, dia akan memotong mangga tersebut menjadi ketul-ketul kecil dan membilang kesemua hirisan kecil mangga tersebut dan membahagikan sama rata kepada kami adik-beradik. Huh, sebab itulah agaknya kami pandai matematik!

Monday, February 4, 2008

Darjah Satu

Tidak seperti orang lain, kami cuma berjalan kaki ke sekolah walaupun pada hari pertama persekolahan. Jaraknya lebih kurang 800 meter dari rumah dan aku cuma mengikut abang dan kakakku bejalan kaki untuk ke sekolah.

Aku masih ingat tiada kasut dan beg sekolah baru untuk aku pada masa itu. Kasut yang aku pakai untuk ke sekolah pada hari pertama persekolahan hanyalah kasut pemberian jiran di belakang rumah kami yang juga ibu saudara aku, kami panggilnya Che Ngoh.

Kasut tersebut adalah kasut anaknya yang telah dipakai dan dia telah membeli kasut lain untuk anaknya itu. Tetapi kasut tersebut masih elok dan aku cuma membeli tali kasut yang baru kerana tali asalnya telah hilang. Beg sekolah pula cuma sebuah beg buruk yang mungkin pernah digunakan oleh kakak untuk ke sekolah atau mak untuk mengisi telekung solat ke surau. Aku basuh terlebih dahulu beg tersebut sebelum aku guna.

Walau apapun aku sangat seronok dan bersemangat untuk ke sekolah. Bagaikan tak sabar-sabar. Dan aku jumpa dengan ramai kawan baru kerana aku tidak pernah bersekolah di Tadika atau pra-sekolah yang lain, dan sebenarnya aku tidak pernah tahu pun tentang kewujudan Tadika tersebut sehinggalah kawan-kawan di sekolah yang bercerita. Apabila kutanyakan pada ibu kenapa aku tidak ke Tadika, ibu cuma menjawab kita tidak ada duit dan kemudahan untuk berbuat itu semua. Aku sepatutnya terlebih dahulu faham sebelum bertanya.

Aku tidak terus membayar yuran persekolahan kerana ayah belum ada duit, begitu juga dengan yuran saudara kembar aku dan adik-beradik yang lain. Tapi biasanya sebelum cuti akhir tahun ayah mesti berjaya menjelaskan yuran tersebut.

Mok Su Limoh

Seingat aku, kami mempunyai jiran yang sangat tua yang tinggal kira-kira 300 meter di sebelah kanan rumah kami yang kami panggilnya sebagai "Mok Su Limoh". Dia sangat baik dengan keluarga kami dan dia sering ke rumah kami untuk berbual-bual dengan ibu sambil menunggu peraih ikan. Pada waktu itu aku belum bersekolah dan kami adik-beradik selalu berkunjung ke rumahnya.

Kadang-kadang kami makan nasi di rumahnya dengan lauk yang sangat ringkas. Dia akan meletakkan hanya sedikit nasi dan kemudian berpesan berkali-kali dengan serius kepada kami supaya menghabiskan dahulu nasi tersebut dan kemudian kami boleh tambah lagi. Suatu tabiatnya adalah dia suka menjemur kakinya di tengah panas kerana katanya kakinya selalu sejuk.

Kami pernah tidur di rumahnya kerana menemaninya yang sering takut tinggal bersendirian. Dia sangat rajin ke surau dan suatu malam semasa pulang dari surau dia mendakwa ternampak lembaga yang dia fikir mungkin orang jahat atau pun hantu. Dia sangat takut dan singgah ke rumah kami terlebih dahulu. Kalau tidak silap, dia menumpang tidur di rumah kami pada malam itu. Dia juga akan datang pada waktu malam semata-mata untuk mendengar rancangan "Nidaa ul-Islam" dari radio di rumah kami.

Pernah suatu hari aku tinggal dengannya kerana aku malas mengikut ayah dan ibu ke ladang tembakau yang mereka usahakan. Dia meninggal dunia kerana sakit tua pada masa aku sudah bersekolah rendah, mungkin darjah 2 pada waktu itu.

Tiada TV

Dulu di rumah kami tidak pernah ada TV sehinggalah aku sudah bersekolah menengah. Alasan ayah dan ibu, kami tidak punya wang untuk membeli TV dan lebih baik tiada TV di rumah supaya ia tidak akan mengganggu pembelajaran terutama pembelajaran Quran yang sememangnya diajar oleh ayah dan ibu di rumah sahaja.

Kadang-kadang di sekolah apabila kawan-kawan sibuk membincangkan tentang rancangan yang mereka tonton di TV dan aku memang tidak tahu apa-apa mengenainya, samada mengiayakan apa sahaja yang mereka kata atau cuma mendengar dan diam.

Bukan kami tidak pernah tengok TV langsung, kerana kadang-kadang kami terpaksa ke rumah jiran untuk menumpang tengok TV dan biasanya ayah dan ibu cuma membenarkan kami menonton rancangan Tilawah al-Quran. Sehingga sekarang pun, aku masih minat menonton rancangan itu dan sudah menjadi kewajipan untuk aku menontonnya setiap kali ia diadakan. Ianya bagaikan mengembalikan segala memori masa lampau yang terlalu indah dan tidak mampu diceritakan dengan sempurna melalui kata-kata atau tulisan.

Yang penting, aku tidak pernah rasa rugi apa-apa pun hanya kerana tidak membesar dengan TV. Rasa beruntung pula kerana kami adik-beradik mempunyai fikiran yang tidak dipengaruhi propaganda-propaganda yang disiarkan melalui TV.