Friday, June 13, 2008

Bekal Ke Sekolah

Bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bari yang terletak dalam 800 meter dari rumah kami hanya berjalan kaki untuk pergi dan pulang. Kebetulan ayah pun tidak pernah membelikan kami basikal.

Ibu selalu memasak pada awal pagi bagi membolehkan kami bersarapan dan membawa bekal ke sekolah. Jika tidak sempat menyiapkannya sebelum kami pergi ke sekolah, maka ayah akan menghantarnya ke sekolah sebelum masa rehat kami. Aku masih seakan-akan ternampak bayang-bayang ibu yang bangun awal pagi dan menyalakan dapur kayu dan ianya menghasilkan asap-asap yang akan memenuhi seluruh rumah dan dapat dilihat dari bayang-bayang lampu dari dapur. Peristiwa ini hanya sempurna terlakar dalam memori, kerana tak mungkin dapat diceritakan melalui tulisan ringkas ini.

Ibu suka memasak Nasi Goreng, Mihun Goreng, Mee (kuning) Goreng, Nasi Lemak, Roti Sambal, Laksam, Lempeng Nyiur dan Jemput-jemput. Aku sangat gemar pada rasa Roti Sambal ibu yang sangat lembut dan sedap. Jika ibu membuat lebih biasanya aku akan membawa lebih ke sekolah dan menjual kepada kawan-kawan, tapi aku pun sudah lupa berapa harga yang aku letak. Tapi aku juga sangat suka bila ibu membuat Laksam, kerana aku akan turut serta dalam proses membuatnya. Suatu pengalaman yang sangat menyeronokkan apabila dapat menuangkan cecair tepung ke atas tudung periuk atau bekas loyang leper dan diletakkan dalam periuk kukusan yang sedang panas di atas dapur, apabila sudah masak akan digulungkan dan dipotong-potong sebelum dimakan dengan kuah putih dari santan.

Bekalan makanan yang dibawa ke sekolah yang diisi dalam bekas plastik bertingkat-tingkat hijau muda itu akan kami adik-beradik makan beramai-ramai di bawah suatu pokok yang rendang di belakang kantin. Aku teringin melihat jika pokok itu masih ada di situ. Kadang-kadang di situ jugalah kami bergaduh berebutkan makanan yang sedikit. Sudah namanya budak-budak...

Bukan Kuli Batak

Pada masa aku kecil-kecil dulu, kami adik-beradik selalu melakukan pelbagai pekerjaan demi untuk mendapatkan sedikit wang tambahan, sebab kalau nak harapkan daripada ibu bapa kami cuma diberi 20sen sehari untuk ke sekolah, itu pun kadang-kadang dikurangkan jika kami telah diberi bekal atau jika ibu berkata "Che memang tiada duit lagi nak kasi". Selalunya kami faham tentang kesempitan itu.

Jika musim orang kampung hendak menanam tembakau, kami akan mendapat peluang pekerjaan "mengerek", iaitu mengisi pasir ke dalam plastik lutsinar kecil berbentuk bulat seperti "kerek telaga" yang akan disemai dengan anak tembakau. Aku sudah tidak ingat berapa upahnya, tetapi upahnya akan dibayar mengikut ratus, contohnya seperti 50sen bagi setiap seratus kerek yang diisi. Jika berjaya menghasilkan 200, bermakna kayalah aku mendapat RM1.

Aku juga pernah mengambil upah untuk mengutip ciku atau cili di kebun pakcik sendiri. Aku sangat sukakan kerja ini kerana ianya tidaklah sesukar mengerek tembakau dan biasanya pakcik akan memberikan cili atau ciku untuk dibawa pulang. Cuma yang tidak menyeronokkan adalah jika hujan turun dengan lebat dan sejuklah aku dalam basah kuyup.

Pekerjaan yang agak lumayan adalah mengutip biji gajus atau kami panggil "butir jambu golok". Agak mencabar kerana kami terpaksa masuk ke tepi-tepi hutan, mengait dan kadang-kadang memanjat untuk mendapatkan biji gajus ini. Ibu dan ayah selalu pesan supaya tidak terkutip biji gajus kepunyaan orang lain, kami cuma hanya boleh mengutip dari pokok dan bawah pokok gajus kami sendiri atau kepunyaan nenek kami. Jika ada terdapat kesan tapak babi, kami akan menyamak biji-biji tersebut serta seluruh tubuh badan kami, biasanya akan dibantu oleh ayah. Hasil biji-biji gajus ini akan dijual mengikut cupak, aku pun sudah lupa bagaimana perkiraannya.

Cuma yang paling aku tidak puas hati apabila di suatu hari aku mengikut makcikku untuk menuai kobis di sebuah ladang di Rhu Tapai. Kami melakukan kerja itu dengan cermat dan lama sekali iaitu dari pagi sehingga petang. Kami diberi tugas untuk memotong kobis yang telah matang dari pokoknya dan menghimpunkannya di satu tempat. Kerja itu sangat memenatkan kerana ianya di tengah panas dan cuma berhenti sekejap di tengah hari untuk makan. Kami diberi upah yang sangat sedikit (aku sudah lupa, mungkin dalam RM2) dan itu yang membuatkan kami serik dan tidak pergi lagi keesokan harinya.

Masakan anak-anak aku nanti faham akan kesusahan ini.