Friday, June 13, 2008

Bukan Kuli Batak

Pada masa aku kecil-kecil dulu, kami adik-beradik selalu melakukan pelbagai pekerjaan demi untuk mendapatkan sedikit wang tambahan, sebab kalau nak harapkan daripada ibu bapa kami cuma diberi 20sen sehari untuk ke sekolah, itu pun kadang-kadang dikurangkan jika kami telah diberi bekal atau jika ibu berkata "Che memang tiada duit lagi nak kasi". Selalunya kami faham tentang kesempitan itu.

Jika musim orang kampung hendak menanam tembakau, kami akan mendapat peluang pekerjaan "mengerek", iaitu mengisi pasir ke dalam plastik lutsinar kecil berbentuk bulat seperti "kerek telaga" yang akan disemai dengan anak tembakau. Aku sudah tidak ingat berapa upahnya, tetapi upahnya akan dibayar mengikut ratus, contohnya seperti 50sen bagi setiap seratus kerek yang diisi. Jika berjaya menghasilkan 200, bermakna kayalah aku mendapat RM1.

Aku juga pernah mengambil upah untuk mengutip ciku atau cili di kebun pakcik sendiri. Aku sangat sukakan kerja ini kerana ianya tidaklah sesukar mengerek tembakau dan biasanya pakcik akan memberikan cili atau ciku untuk dibawa pulang. Cuma yang tidak menyeronokkan adalah jika hujan turun dengan lebat dan sejuklah aku dalam basah kuyup.

Pekerjaan yang agak lumayan adalah mengutip biji gajus atau kami panggil "butir jambu golok". Agak mencabar kerana kami terpaksa masuk ke tepi-tepi hutan, mengait dan kadang-kadang memanjat untuk mendapatkan biji gajus ini. Ibu dan ayah selalu pesan supaya tidak terkutip biji gajus kepunyaan orang lain, kami cuma hanya boleh mengutip dari pokok dan bawah pokok gajus kami sendiri atau kepunyaan nenek kami. Jika ada terdapat kesan tapak babi, kami akan menyamak biji-biji tersebut serta seluruh tubuh badan kami, biasanya akan dibantu oleh ayah. Hasil biji-biji gajus ini akan dijual mengikut cupak, aku pun sudah lupa bagaimana perkiraannya.

Cuma yang paling aku tidak puas hati apabila di suatu hari aku mengikut makcikku untuk menuai kobis di sebuah ladang di Rhu Tapai. Kami melakukan kerja itu dengan cermat dan lama sekali iaitu dari pagi sehingga petang. Kami diberi tugas untuk memotong kobis yang telah matang dari pokoknya dan menghimpunkannya di satu tempat. Kerja itu sangat memenatkan kerana ianya di tengah panas dan cuma berhenti sekejap di tengah hari untuk makan. Kami diberi upah yang sangat sedikit (aku sudah lupa, mungkin dalam RM2) dan itu yang membuatkan kami serik dan tidak pergi lagi keesokan harinya.

Masakan anak-anak aku nanti faham akan kesusahan ini.

2 comments:

WS Zuriati said...

Yang pastinya kalau adi dan nurah tak pernah memahami erti tiada duit. Nanti mereka akan berkata "duit ada dalam beg umi"...

Anonymous said...

kenangan kecik2...

wanita juga berasal dari kampung dan pengalaman bekerja sewaktu kanak-kanak adalah pengalaman yang tidak mungkin dialami oleh semua orang.

sewaktu wanita berusia 6 tahun lagi wanita dah kerja. mencari anak pokok getah yang mempunyai akar tujang. bila dapat kumpulkan sebanyak 100 pokok, wanita dan adik beradik lain akan diberi upah sebanyak 30 sen. selalunya kami akan bertanding siapa yang lebih banyak.

banyak lagi kerja yang wanita buat, tapi tak boleh la diceritakan di sini, nanti lawan tokeh la plak kan..

Tapi yang pastinya, pengalaman ini sangat bernilai. Orang lain pasti tak dapat merasainya kan?