Wednesday, January 21, 2009

Rumah Kak Yah

Aku teringat sangat pada rumah Kak Yah terletak paling dekat dengan rumah aku. Kadang-kadang kami panjat pokok jambu golok yang rendang di hadapan rumahnya, ada banyak pokok dedalu bersarang atas dahannya. Jika ada buah dedalu yang masak kami panjat untuk mendapatkan buahnya dan makan. Buahnya sangat kecil, manis dan berlendir, ada biji kecil di dalamnya.

Kami menonton TV di rumah Kak Yah, walaupun setelah diperli oleh ibu dan ayah. Mereka selalu berkata kami pergi “menadah kitab besar”, sebenarnya mereka tidak suka kami menonton TV dan mungkin sebab itu jugalah tidak pernah ada TV di rumah kami. Kak Yah dan suaminya Abang Pa sangat baik, mereka tidak kisah kami menonton TV hitam putih di rumahnya pada malam-malam hari. Pada waktu itu, belum ada elektrik 24 jam di tempat kami. Hanya 12 jam ketika malam dan ibu membayar bil yang tetap pada setiap bulan, tiada bil tiada meter, tapi aku sudah lupa berapa jumlahnya.

Di rumah Kak Yah tiada perigi, jadi dia sekeluarga menumpang di perigi rumah aku. Kadang-kadang membasuh pakaian dengan ibuku di tepi perigi yang berdinding daun kelapa yang disusun rapat pada kayu yang dijadikan turus pagarnya. Selalu saja Kak Yah mengangkut air dalam baldi dari perigi rumah aku ke rumahnya sewaktu kami sedang bermain di hadapan tangga rumahnya. Kak Yah beri kami minum air perigi yang belum dimasak dari dalam baldi yang dibimbitnya. Semua orang akan hirup air itu seorang demi seorang (termasuk adik-beradik aku serta anak-anak KakYah dan kanak-kanak lain) dari tepi baldi yang dibimbit olehnya. Ini adalah sesuatu yang aku akan ingat sampai bila-bila.

Kak Yah ada anak yang istimewa yang mereka panggil Abe. Dia tidak pernah bercakap walaupun dia dua tahun lebih tua daripada aku. Kadang-kadang bila sakit Abe datang seluruh badan dia akan mengeras dan dia akan jatuh berguling, tak kira di mana samada atas tanah, atas rumah atau atas tangga. Kadang-kadang dia jatuh dari atas tangga atau lambur. Kami akan beramai-ramai memicit-micit seluruh badannya sehingga dia kembali normal.

Suatu hari semasa dalam darjah satu cikgu telah memberikan markah yang paling tinggi dalam kelas aku untuk sebuah lukisan yang aku lukiskan, 92%. Aku menceritakannya pada pada Imah, salah seorang anak Kak Yah yang berumur empat tahun lebih tua daripada aku. Dia ingin melihat lukisanku dan suatu petang aku bawakan lukisan itu ke rumahnya. Dia kata sangat cantik malah lebih cantik daripada lukisan adiknya yang sekelas dengan aku. Aku bangga walaupun atas kertas lukisan itu aku cuma lukis sebuah rumah, sebatang pokok, pokok bunga dalam pasu, beberapa ketul awan bersama matahari di atas bukit dan seekor kura-kura!

5 comments:

HaNie said...

lucu sekali membaca coretan Saudara apabila menggambarkan awan itu berketul2.. Tetapi hakikatnya saya juga tidak tahu apa yang lebih baik untuk digambarkan awan itu..

a.b geldofg said...

hehehehe tntu cntik lukisan tu

Yanaam said...

Memang seronok membaca blog yang santai begini. Terkenang-kenang semasa dulu.

Aku... said...

menarik cerita tu..aku teringat jugak zaman aku kecik kecik dulu...lebih kurang sama je..tapi aku negeri lain..bukan kat setiu pun..tapi yang aku pelik kenapa dalam banyak banyak binatang kura kura jadik pilihan...?

Nafastari said...

Hanie, semua kanak-kanak pada waktu itu menggambarkan awan begitu. Ia sesuatu yang hebat untuk waktu itu.

Ab geldofg, tidak cantik sangat. Tetapi sudah cukup bagus untuk budak darjah satu. Pernah sekali Cikgu Kamal cuma bagi markah 56% untuk lukisan aku, aku sangat kecewa (kerana biasanya lukisan aku mendapat 80 ke atas) tetapi tidak pernah bagitahu sesiapa. Samapai hari ini aku ingat.

Yanaam, terima kasih. Aku lihat kamu juga telah menulis memori lama di blog kamu. Tahniah!

Aku, semua orang melalui zaman kanak-kanak yang sangat indah, dengan cara masing-masing yang tersendiri. Aku pun tidak mempunyai alasan yang kukuh kenapa aku suka melukis kura-kura, tetapi pada masa itu aku memang suka melukis kura-kura. Mungkin senang untuk aku...