Tuesday, June 16, 2009

Mandi Pantai

Kadang-kadang aku menjadi sangat takut pada laut dan ombak. Melihat laut pun aku tidak sanggup. Pada waktu itu aku belum bersekolah. Suatu petang itu, aku ke pantai dengan kakak aku dan pada masa itu aku rasa sungguh takut melihat laut. Kakak aku tutup mata aku dengan sehelai kain dan aku tidak perlu takut lagi kerana aku sudah tidak dapat melihat apa-apa, cuma gelap.

Setelah besar sedikit aku tidak takut lagi pada laut dan pantai. Pada musim cuti sekolah kami suka sangat ke pantai. Biasanya pagi-pagi kami berkumpul dulu di rumah Moksu Timah dan tonton TV jika ada cerita menarik, biasanya Ultraman yang menarik perhatian kami. Setelah raksasa mati biasanya Moksu akan menutup TV kerana dia kata TV sudah panas dan perlu ditutup seketika. Kami akur dan keluar dari rumah Moksu dan seterusnya merancang aktiviti yang seterusnya. Samada bermain apa-apa permainan di "Pasir Putih", di depan rumah Mokteh Mah, memancing di kolam Ayah Ngah Arif atau di Barus Luar atau ke pantai! Kamilah kanak-kanak yang paling beruntung kerana kami ada banyak pilihan.

Jika ke pantai kami berjalan beramai-ramai melalui jalan dalam kampung. Melalui kawasan yang sedikit berhutan dan semak-samun. Tapi sambil-sambil itu kami pungut buah kemunting, jambu (banyak jenis; butir banyak, penawar, jambu arang), buah khekuk, buah chupu, mata ayam dan sebagainya untuk dimakan. Ada banyak buah-buah yang tumbuh secara semulajadi di situ. Hutan itu tidak tebal, tanahnya putih dan ada denai yang luas yang boleh kami lalu dan bawa kami ke pantai. Sebelum aku bersekolah iaitu pada umur aku mungkin lima atau enam tahun tempat itu menjadi tempat pasangan kekasih di kampung itu untuk berjumpa, di balik rimbunan pohon kemunting yang tumbuh jarang-jarang tetapi merendang di atas tanah beris yang sangat putih dan di antara batang pokok-pokok kelapa tinggi yang melambai-lambai.

Mandi pantai sangat menyeronokkan, walaupun kadang-kadang kami seakan-akan lemas dan tertelah air masin. Itu bagaikan perkara yang sangat biasa dan tidak langsung menjadi ketakutan atau kebimbangan kami. Jika rajin kami akan mencari remis atau ketam. Remis boleh dicari menggunakan tangan atau kaki di gigi air. Menurut pemerhatian aku remis lebih banyak jika ombak lebih besar. Tetapi ada ketikanya remis sangat sukar diperoleh. Selepas mencari remis ada banyak pasir pantai akan masuk lekat di celah-celah kuku tangan dan kaki. Ketam boleh ditangkap dengan mudah menggunakan umpan ikan kering. Jika ikan kering tersebut telah lama dan berbau, itu lebih berkesan. Ketam lebih banyak jika ombak tenang atau ada pasir beting, biasa waktu awal pagi dan petang.

Jika bermain air, aku cukup gemar bermain menunggu ombak tinggi, dan melompat melepasi ombak tersebut yang datang ke arah kami. Mandi pantai menyebabkan kulit menjadi sangat gelap. Tapi kami tidak berapa tahu tentang nilai warna kulit pada masa itu jadi ia tidak pernah menjadi isu. Pernah satu hari sewaktu sekolah baru dibuka setelah cuti semester, seorang guru bertanya, "kamu letak arang ke di kulit kamu?". Aku rasa dia cuba buat lawak, tapi aku kurang faham sebab aku tidak sedar bahawa kulit aku menjadi lebih gelap daripada biasa.

Mandi pantai sangat memenatkan. Mungkin kerana terlalu lama bermain kadang-kadang semasa kami berjalan untuk pulang ke rumah saya merasakan seperti masih ada alunan ombak yang seolah-olah membadai kami. Lebih teruk jika sampai ke rumah kami kena dengar bebelan ibu yang tidak berpuas hati atas beberapa perkara, antara lain sebab lewat atau tidak mengaji Quran!

10 comments:

Anonymous said...

Seronok mendengar cerita kamu. Kerana pantai kita yang cantik dan bersih itulah yang menyebabkan Hubby saya setiap kali pulang ke kampung akan mengajak semua orang mengikutnya mandi laut dan kerana itu juga setiap kali Hari Raya Hubby yang memilih untuk beraya di kampung saya.. Kadang-kadang risau juga sekiranya keluarga mertua berkecil hati.. Tapi Hubby sangat sukakan Terengganu..

Hanie..

mr o said...

hello!!!!

ABU LUQMAN said...

Assalamualaikum dan Salam Persahabatan.

Menarik sungguh info ini- saya bagaikan berada di celah- celah keluarga nelayan

sue said...

hihih...buah khekuk?bagi sesiapa yang tak tau..buahnyer ala-ala buah beri tau...beri yang besar..unik buahnyer...pokoknyer berduri..buahnyer bulat, masak warna maroon..makan ada cara, kalau makan terus..rasanya pahit kelat,kena gelek dulu bagi lembut...sedap..

Nafastari said...

Hanie, biar pun hujan batu di tempat sendiri, tapi masih baik lagi tempat sendiri.

Mr. O, hello!

Abu Luqman, terima kasih. Tetapi kami bukanlah keluarga nelayan, malah ayah saya mabuk laut. Cuma rumah kami yang berdekatan dengan pantai.

Sue, terima kasih atas penjelasan yang sangat bagus itu! Anda tentunya tidak asing dari dunia saya membesar sebab itu anda boleh bercerita dengan begitu baik dan lengkap. Sudah lama saya tidak makan buah khekuk.

sue said...

Pa...invite ler kaksue gak..nak baca gak nafastari...tak acilah...dahlah kita xbelajar pandai2, luar negara pun takleh p, baca catatan Pa pun rasa macam duk sana...please..

Nafastari said...

Kak Sue, memang nak invite, tp saya xde emel kak Sue. Tolong kasi.

sue said...

ALHAMDULILLAH...OK..acu141@yahoo.co.uk

nukil jemari said...

salam..tq 4 ur comment @ my page! =) ur story was good too! hope to read more from u!!

WS Zuriati said...

melankolik...
itukah yg aku rs setelah aku bc catatan ini...
walau apa pun memang betullah begitu keadaannya...
Masih terasa-rasa kenangan itu, sewaktu kita sama2 mencari buah kemunting yg kdg2 membuat kt sembelit..
kadang terasa jg kepenatan apabila sepetang2 atau sepagi2 mencari remis dipantai itu...
semua terlalu indah untuk digambarkan di sini...
hanya waktu itu kita melaluinya seperti tiada apa2 yg istimewa seperti kt rasakan hari ini...