Saturday, August 2, 2008

Permainan Orang Kampung

Sewaktu di sekolah rendah aku tidak pernah berasa bahawa belajar itu suatu benda yang sangat penting mahupun susah. Aku ke sekolah kerana ibu menyuruh dan ayah akan marah jika aku tidak pergi ke sekolah. Apabila balik sekolah aku dan adik beradikku serta jiran-jiran aku yang kebanyakannya adalah sepupuku akan bermain sepuas-puasnya sehingga "masih nampak tanah" (aku pinjam kata-kata Mok Su Timoh jiran kami).

Terlalu banyak jenis permainan yang kami mainkan sebelum menjelang maghrib. Biasanya dimainkan dalam kumpulan secara beramai-beramai. Jika perlu membentuk dua pasukan, kami akan melakukannya melalui kaedah "berbisik". Kadang-kadang undian juga dijalankan melalui kaedah cabutan kayu kecil (satu panjang, satu pendek), atau melalui lambungan duit syiling. Kami biasanya bermain di suatu tempat yang kami panggil Pasir Putih kerana pasir di situ sangat putih, terletak di antara rumah aku dengan rumah Che Ngoh dan Kak Nora.

"To Wok" dalam bahasa yang lebih KL mungkin disebut sorok-sorok, "To Jel" adalah suatu permainan kejar mengejar yang lebih lasak dimainkan antara dua pasukan. "Kombet" adalah main perang-perang secara olok-olok. Ianya sungguh menyeronokkan dan jika kita sudah ternampak musuh dan ingin menembaknya kita akan berkata "Dang Leha!" (jika hendak menembak seseorang yang bernama Leha). Kakakku bernama Leha, dia sangat pandai bermain Kombet, mungkin kerana dia sangat rendah dan kecil menyebabkan dia pandai menyorok dan sukar untuk dijumpai.

Kadang-kadang kami bermain Bola Awal, Bola Katok (semacam rounders), Bola Sepak, Bola Tampar, Gelap Cerah (Galah Panjang), Pondok-pondok (kami panggil Main Dangau), Pekong Selipar, Pekong Tin dan banyak lagi. Ianya sungguh mengasyikkan sehinggakan kami lupa ianya sudah hampir Maghrib, lalu berteriaklah ibu-ibu kami memanggil pulang ke rumah. Kadang-kadang kami bergaduh juga sesama sendiri, sesama jiran, sesama sepupu gara-gara ketidakpuashatian terhadap keputusan perlawanan dalam permainan ataupun kekasaran yang berlaku semasa bermain. Jika bermain bola sepak dan "To Jel", kebarangkalian untuk bergaduh adalah tinggi. Bergaduh hanya untuk dua tiga hari dan kemudian berbaik untuk bermain bersama-sama lagi.

8 comments:

Unknown said...

seronok juga permainan zaman kite kecik2 mule... w/pun kite tak sekampung ngan tuan, tp permainan tu sama je.. adakah anak kite atau anak tuan nanti sempat merasa permainan sebegini? baru2 ni kite ada terbaca kat homepage akhbar no.1 MAIN ROGOL-ROGOL.. masyaallah..nauzubillah semoga anak kite dilindungiNYA dari perkara2 mungkar..

narumi hayashida said...

To Nusuk kat tempat saya, bola katok memang selalu main pun, galoh panjang, to kejor, mok-mok macam pondok-pondok juga dan lain-lain. Bestnye kenangan tu

*Mawar Nafastari* said...

kite dulu-dulu pun main benda yang sama macam awak main, cume kita budak perempuan, kitorang main batu seremban,ting-ting, getah, masak- masak, kawan-kawan..

hehe.. gembira sungguh jadi anak kecil.. tapi bila memikirkan zaman sekarang ni budak2 dia dah tak reti dan tak kenal permainan orang dulu2.. teknologi telah menghapuskan warisan budaya permainan orang dulu.. ces.. kasihan sungguh anak2 sekarang kan..

moga nanti kita didik anak2 kita dengan tradisi orang lama juga sikit2... ajak anak2 main permainan yang kita pernah main dulu.. hehehe

narumi hayashida said...

To Mawarnafastari, ada usaha untuk memupuk kembali permainan tradisional sebegini.Andaikata anda berminat, jemput ke Nisa' Indoor Games di Ladang 22 Ogos ini.Ke arah memelihara budaya warisan bangsa

Hartini Omar said...

saya juga masih teringat bermain galah panjang, baling selipar dan baling tin waktu kecik2 dulu.. dan saya paling suka main "cap-ping". tak tau la dr mana ktorg dpt perkataan tu, tp permainannya ala2 rounders. memang sangat menyeronokkan

saya adlh contoh budak pmpuan yg tomboy time kecik2 dulu.. huhu

WS Zuriati said...

Tuan mugkin terlupa untuk menyelitkan tentang permainan itu akan terhenti seketika dan kita semua akan bersembunyi disebalik pokok atau di bawah rumah arwah pok nik apabila mendengar enjin motorsikal ayoh ngoh..(dia akan berhenti memberi amaran dan memarahi kita semua kerana bermain)kita semua akan lari bertempiaran seperti takutkan garuda..

Anonymous said...

seronok memang seronok baca post tuan hok ni... esp. komen dr wszuriati pasal motor ayoh ngoh tu, ambe ketawa sendirian terkenang d zaman tu....

Anonymous said...

bila dah namanya orang kampung macam tu la.best lak bila ingat zaman kecik-kecik. main2 sume tu (bola katok, gelap cerah, pekong tin, etc.)rindunya...